Sunday, August 4, 2013

PANDUAN MENYAMBUT HARI RAYA DARI HADIS-HADIS NABI


1. Menghidupkan malam hari raya dengan ibadah. Sabda Nabi SAW; “Sesiapa bangun beribadah pada malam dua hari raya kerana mengharapkan pahala dari Allah, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati yang lain” (Sunan Ibnu Majah; 1782, dari Abu Umamah RA. Menurut an-Nawawi; hadis ini dhaif. Namun kata beliau; hadis dhaif diberi kelonggaran untuk dipakai dalam fadhilat amalan. Lihat; al-Azkar, hlm. 260).

2. Menyelesaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya. Ibnu ‘Umar RA menceritakan; “Nabi SAW menyuruh dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar menunaikan solat hari raya” (Musnad Ahmad; 6467, isnadnya soheh. Jami’ at-Tirmizi; 677, hasan soheh).


3. Dilarang berpuasa pada hari raya. Abu Hurairah RA dan Abu Sa‘id al-Khudri RA menceritakan: “Sesungguhnya Nabi SAW menegah puasa pada dua hari iaitu hari raya fitrah dan hari raya korban” (Soheh al-Bukhari; 1191. Soheh Muslim; 1138/139, 1138/141).

4. Mandi pada pagi hari raya. Nafi‘ menceritakan: “’Abdullah bin ‘Umar RA (sahabat terkenal) mandi pada pagi hari raya sebelum keluar ke mushalla (tempat solat)” (Muwatta Malik; 609. Menurut an-Nawawi; atsar ini soheh. Lihat; al-Majmu‘,5/6). Juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat.

5. Berwangian dan memakai pakaian elok. Al-Hasan bin ‘Ali RA menceritakan; “Pada hari raya Nabi SAW menyuruh kami memakai pakaian yang paling elok yang kami peroleh, berwangian dengan wangian yang paling harum yang kami peroleh…” (Mustadrak al-Hakim; 7560).

6. Menghadiri majlis solat hari raya dengan membawa semua ahli keluarga termasuk anak gadis dan wanita yang sedang haid. Ummu ‘Athiyyah RA menceritakan: “Kami (kaum wanita) diperintahkan oleh Nabi SAW supaya keluar pada hari raya ke tempat solat sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabirnya (yakni dari biliknya untuk turut serta ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama orang ramai, berdoa bersama mereka dan mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Soheh al-Bukhari; 971).

7. Bertakbir. Berdalilkan hadis Ummu ‘Athiyah RA tadi. Ada diriwayatkan juga Nabi SAW bersabda; “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir (membesarkan Allah)” (al-Mu’jam as-Saghier, Imam at-Tabrani; 599, dari Abu Hurairah RA. Menurut as-Sakhawi; sanadnya dhaif. Al-Maqasid al-Hasanah; 547).

8. Pada hari raya puasa, disunatkan makan terlebih dahulu sebelum keluar ke tempat solat. Buraidah RA menceritakan: “Rasulullah SAW tidak keluar (ke tempat solat) pada hari raya fitrah kecuali setelah baginda makan. Pada hari raya korban pula, baginda tidak makan melainkan setelah selesai solat” (Musnad Ahmad; 22983, 22984. Isnadnya hasan).

9. Keluar dengan berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang. Ibnu ‘Umar RA menceritakan; “Rasulullah SAW keluar pada hari raya (ke tempat solat) dengan berjalan kaki dan pulang juga berjalan kaki” (Sunan Ibnu Majah; 1295, hasan. Al-Majmu’, an-Nawawi; 5/8). Jabir bin Abdullah RA menceritakan: “Nabi SAW pada hari raya melalui jalan yang berbeza (ketika pergi dan pulang dari tempat solat)” (Soheh al-Bukhari; 986).

10. Memberi ucapan (selamat, tahniah dan sebagainya), menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman. Memberi ucapan; Jubair bin Nufair menceritakan, “Para sahabat RA apabila saling bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan antara satu sama lain; “تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ” (semoga Allah menerima dari kita semua)” (Menurut Ibnu Hajar; hadis diriwayatkan oleh al-Muhamili dan isnadnya hasan. Fathul-Bari; 2/446). Bersalam-salaman; Sabda Nabi SAW; “Apabila dua orang Islam bertemu, lalu mereka bersalaman, mereka akan diampunkan Allah sebelum berpisah lagi” (Jami’ at-Tirmizi; 2727. Musnad Ahmad; 18547, dari al-Bara’, soheh lighairi). Menzahirkan kegembiraan; Sabda Nabi SAW; “Kamu mengukir senyuman di hadapan saudaramu adalah sedekah” (Jami’ at-Tirmizi; 1956, hasan).

11. Dibolehkan bergembira dan menikmati nyanyian atau hiburan yang bersih. Dalam Soheh al-Bukhari, ‘Aisyah RA menceritakan; Dua budak perempuan Ansar bersamaku pada satu hari raya, mereka menyanyi di dalam rumah Rasulullah SAW dengan syair Ansar. Apabila Abu Bakar RA masuk ia membantah; Apakah serunai-serunai syaitan di rumah Rasulullah? Lantas Nabi SAW berkata; “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari rayanya dan hari ini ialah hari raya kita” (Soheh al-Bukhari; 952).

Related Posts:

  • ANJING ANJING; AYAT-AYAT AL-QURAN DAN BEBERAPA HADIS SOHEH TENTANGNYA Di dalam al-Quran, anjing disebut pada 2 tempat; 1. Surah al-A’raf (ayat 176). Ma… Read More
  • PEMIMPIN; BERTIMBANG RASALAH Doa Nabi SAW; اللهُمَّ، مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ، فَاشْقُقْ عَلَيْهِ، وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْ… Read More
  • PANDUAN MENYAMBUT HARI RAYA DARI HADIS-HADIS NABI 1. Menghidupkan malam hari raya dengan ibadah. Sabda Nabi SAW; “Sesiapa bangun beribadah pada malam dua hari raya kerana mengharapkan pahala dari … Read More
  • BERAPA PAHALA MEMBACA SATU QURAN? Jumlah huruf dalam al-Quran ada 300 000 lebih (Menurut Imam Mujahid; 323015 huruf sebagaimana dinaqal oleh Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya). … Read More
  • MENGENALI DIRI Kita tidak boleh mendabik dada bahawa kita akan menjadi ahli syurga di akhirat nanti kerana Allah boleh mengubah segalanya termasuk hati. Sabda N… Read More

0 comments: