Tuesday, August 27, 2013

BERBAKTI KEPADA IBU-BAPA

(1) Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; Seorang lelaki datang kepada Rasulullah –shallallahu ‘alaihi wasallam-, lalu bertanya; ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku layani dengan baik?’. Jawab baginda; “Ibumu”. Ia bertanya lagi; ‘Kemudian siapa?’. Jawab baginda; “Ibumu’. Ia bertanya lagi; ‘Setelah itu siapa?’. Jawab baginda; “Ibumu”. Ia bertanya lagi; ‘Setelah itu siapa lagi?’. Baginda menjawab; “Bapamu” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

(2) Abdullah bin Mas’ud r.a. menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah; ‘Apakah amalan yang paling disukai Allah?’. Baginda menjawab;

الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا
“Solat pada waktunya”.
Aku bertanya lagi; ‘Setelah itu apa?’. Baginda menjawab;

بِرُّ الْوَالِدَيْنِ
“Berbuat baik kepada dua ibu-bapa”.
Aku bertanya lagi; ‘Setelah itu apa?’. Baginda menjawab;

الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Berjihad di jalan Allah”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).


(3) Sabda Nabi SAW; “Seorang anak tidak akan berupaya membalas jasa-jasa ibu-bapanya melainkan apabila ia menemui ibu-bapanya seorang hamba yang dimiliki, lalu ia membelinya dan membebaskannya” (Hadis riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai dari Abu Hurairah r.a.).

(4) Sabda Nabi SAW; “Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456). 

(5) Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; Seorang lelaki dari penduduk Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah. Lalu baginda bertanya beliau; “Adakah kamu ada meninggalkan seseorang di Yaman?”. Ia menjawab; “Ya, dua ibu-bapaku”. Nabi bertanya beliau; “Adakah kedua mereka memberi izin kepadamu”. Ia menjawab; ‘Tidak’. Lantas Nabi berkata kepadanya;


“Pulanglah kepada mereka berdua dan mintalah keizinan mereka. Jika mereka mengizinkanmu, maka berjihadlah (bersamaku). Jika tidak, berbaktilah kepada mereka” (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

(6) Mu’awiyah bin Jahimah menceritakan dari bapanya yang menceritakan; Aku telah berjumpa dengan Nabi untuk meminta pandangannya tentang hasratku untuk keluar berjihad. Lalu baginda bertanyaku; “Apakah kamu masih memiliki dua ibu-bapa?”. Jawabku; ‘Ya’. Baginda lalu berkata;

الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا
“Jagalah mereka berdua kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hadis no. 1475).

(7) Sabda Nabi SAW; “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezkinya, maka berbaktilah kepada dua ibu-bapanya dan hubungkanlah ikatan persaudaraannya” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari Anas bin Malik r.a.).  

(8) Sabda Nabi SAW; “Berbaktilah kepada ibu-bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Peliharalah kehormatan dirimu, nercaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik dari Ibnu ‘Umar r.a.. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 1480). 


0 comments: