Monday, January 31, 2022

LARANGAN SOLAT KETIKA GANGGUAN KENCING DAN BERAK

Nabi SAW bersabda;

لَا صَلاَةَ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ وَلاَ هُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ

“Tidak ada solat (yang sempurna) ketika makanan telah terhidang dan ketika seseorang itu sedang ditekan oleh kencing dan berak” (Soheh Muslim; 560. Dari ‘Aisyah RA).


KADAR TAHIYYAT AWAL

Abdullah bin Mas’ud RA menceritakan;

أن النبي صلى الله عليه وسلم (كان في الركعتين الأوليين كأنه على الرَّضْف)

“Nabi SAW ketika (duduk di hujung) rakaat kedua (yakni duduk tahiyyat awal), baginda (duduk dengan ringkas) seolah seperti duduk di atas batu yang panas” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi, hadis hasan. Al-Majmuk; 3/416).

BACAAN AL-QURAN DALAM SOLAT MALAM

Nabi SAW bersabda;

«مَنْ ‌قَامَ ‌بِعَشْرِ ‌آيَاتٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِينَ، وَمَنْ قَامَ بِمِائَةِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْقَانِتِينَ، وَمَنَ قَرَأَ بِأَلْفِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْمُقَنْطِرِينَ»

“Sesiapa bangun (bersolat malam) dengan 10 ayat dari al-Quran dia tidak akan ditulis lagi dalam senarai orang-orang lalai. Sesiapa bangun dengan 100 ayat, dia akan ditulis dalam kalangan ahli ibadat atau ahli ketaatan. Sesiapa bangun dengan 1000 ayat, dia akan ditulis dalam kalangan orang yang bertimbun pahalanya” (Soheh Ibnu Khuzaimah; 1144).


SOLAT SUNAT SEBELUM DAN SELEPAS ZOHOR

Sabda Nabi SAW;

مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ ‌رَكَعَاتٍ ‌قَبْلَ ‌الظُّهْرِ، وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا، حَرُمَ عَلَى النَّار

“Sesiapa memelihara 4 rakaat (solat sunat) sebelum zohor dan 4 rakaat (solat sunat) selepasnya, terpelihara (dirinya) dari neraka” (Sunan Abi Daud; 1262).


TARBIAH NABI KEPADA PEMUDA

Malik al-Huwairith RA yang menceritakan;

“Aku dan beberapa orang pemuda yang sebaya pernah tinggal bersama Nabi SAW selama 20 hari 20 malam. Baginda adalah seorang yang sangat penyayang dan bersimpati. Maka apabila baginda melihat kami telah merindui keluarga kami, baginda berkata kepada kami; “Pulanglah kamu kepada keluarga kamu, tinggallah bersama mereka, ajarkan mereka (agama) serta suruhlah mereka (mengerjakan suruhan-suruhan agama) dan tunaikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku menunaikan solat…” (Soheh al-Bukhari).

LAKNAT ALLAH TERHADAP ARAK

Nabi SAW bersabda;

لعن الله الخمر، وشاربها ، وساقيها ، وبائعها ، ومبتاعها ، وعاصرها ، ومعتصرها ، وحاملها ، والمحمولة إليه ، وآكل ثمنها

“Allah melaknat arak, peminum arak, pemberi minum, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, yang meminta diperah untuknya, pembawanya, yang dibawa untuknya dan yang memakan hasil jualannya” (Sunan Abu Daud, dari Ibnu ‘Umar RA).

PAHALA MEMBACA AL-QURAN

Sabda Nabi SAW; setiap huruf yang dituturkan dari al-Quran akan diberikan gandaan 10 HASANAAT (HR al-Tirmizi). 

Nabi SAW bersabda; “Bacalah (al-Quran) dan mendakilah (darjat-darjat kamu di dalam Syurga)” (Sunan al-Tirmizi; 2914).