Monday, July 14, 2014

ORANG YANG BERTAUBAT SEPERTI TIADA DOSA

Sabda Nabi SAW;

التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ، كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ
"Orang yg bertaubat dari dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa" (Sunan Ibnu Majah; 4250, hasan).

NABI SAW BERGURAU

Sabda Nabi: "Aku bersenda gurau, namun aku tidak berkata melainkan yg benar/betul" (Sunan Tirmizi: 1990, hasan).

DOA NABI SAW UNTUK IBNU 'ABBAS RA

Ibnu 'Abbas RA pernah menceritakan; Nabi SAW meletakkan tangannya atas bahuku, lalu baginda berdoa kepadaku;
اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
"Ya Allah berikanlah kefahaman kepada budak ini dalam agama dan ajarilah kepadanya tafsiran al-Quran" (Musnad Ahmad; 2397, isnadnya kuat).

Thursday, May 22, 2014

TIDAK MENZIARAHI IBU-BAPA KERANA MENTAATI SUAMI


Anas bin Malik RA menceritakan; Seorang lelaki keluar (untuk suatu urusan) dan dia memerintahkan isterinya jangan keluar dari rumah. Ketika ketiadaan suaminya, isterinya mendengar berita ayahnya sakit. Ayahnya tinggal di bahagian bawah rumahnya, sedang dia di bahagian atas. Dia menghantar orang bertemu Nabi SAW (bagi meminta izin untuk keluar menjengok ayahnya), namun baginda berkata kepadanya; ‘Taatilah perintah suamimu (yakni jangan keluar rumah)’. Kemudian dia mendapat berita ayahnya telah mati. Sekali lagi dia menghantar orang bertemu Nabi, namun baginda tetap berkata; ‘Taatilah perintah suamimu (yakni jangan keluar rumah)’. Akhirnya Nabi SAW menghantar orang memberitahunya; “Sesungguhnya Allah telah mengampuni ayahmu kerana ketataanmu kepada suamimu” (Al-Mu’jam al-Ausat; 7648).

Status hadis; menurut Imam Ibnu Hajar; hadis ini adalah dhaif. Lihat; Majma’ az-Zawaid, 4/313, no. hadis; 7666.

Tuesday, September 10, 2013

KEPUTUSAN HAKIM TERSALAH, LARANGAN MERAMPAS MILIK ORANG LAIN

Sabda Nabi SAW; "Sesungguhnya aku juga manusia. Apabila kamu bertikai di hadapanku, barangkali sebahagian kamu lebih pandai berhujjah dari sebahagian yang lain, lalu aku putuskan untuknya mengikut apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku putuskan untuknya sesuatu (yang bukan haknya tetapi) hak saudaranya, janganlah ia ambil kerana aku memotong untuknya potongan dari neraka" (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah; 36488, dari Ummu Salamah RA).

SAKSI TERBAIK

Zaid bin Khalid al-Juhani RA menceritakan; Nabi SAW bersabda;

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِ الشُّهَدَاءِ الَّذِي يَأْتِي بِشَهَادَتِهِ قَبْلَ أَنْ يُسْأَلَهَا
"Mahukah aku beritahu siapa sebaik-baik saksi?" Lalu baginda menjelaskan; "Iaitulah orang yang memberi kesaksiannya sebelum ia diminta memberi kesaksian" (Musnad Ahmad; 17040. Muslim; 1719).

* Menurut Imam an-Nawawi; ada berberapa andaian bagi maksud sebaik-baik saksi dalam hadis di atas, antaranya; seorang yang padanya ada penyaksian untuk seorang manusia bagi suatu haknya, namun orang itu tidak mengetahuinya, lalu dia tampil memaklumkan kepada orang tersebut bahawa dia adalah saksi untuknya bagi hak tersebut (Syarah Fuad 'Abdul Baqi).

KEJELASAN DALAM KESAKSIAN

Ibnu 'Abbas RA menceritakan; Nabi SAW ditanya tentang syahadah (memberi kesaksian). Lantas baginda berkata kepada orang yang bertanya; "Adakah kamu melihat matahari?". Ia menjawab; 'Ya'. Nabi berkata kepadanya; "Jika jelas seumpama itu, berilah penyaksian, atau tinggal saja (dari memberi kesaksian)" (Syu'abil-Iman, Imam al-Baihaqi; 10469).