Tuesday, September 10, 2013

KEPUTUSAN HAKIM TERSALAH, LARANGAN MERAMPAS MILIK ORANG LAIN

Sabda Nabi SAW; "Sesungguhnya aku juga manusia. Apabila kamu bertikai di hadapanku, barangkali sebahagian kamu lebih pandai berhujjah dari sebahagian yang lain, lalu aku putuskan untuknya mengikut apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku putuskan untuknya sesuatu (yang bukan haknya tetapi) hak saudaranya, janganlah ia ambil kerana aku memotong untuknya potongan dari neraka" (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah; 36488, dari Ummu Salamah RA).

SAKSI TERBAIK

Zaid bin Khalid al-Juhani RA menceritakan; Nabi SAW bersabda;

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِ الشُّهَدَاءِ الَّذِي يَأْتِي بِشَهَادَتِهِ قَبْلَ أَنْ يُسْأَلَهَا
"Mahukah aku beritahu siapa sebaik-baik saksi?" Lalu baginda menjelaskan; "Iaitulah orang yang memberi kesaksiannya sebelum ia diminta memberi kesaksian" (Musnad Ahmad; 17040. Muslim; 1719).

* Menurut Imam an-Nawawi; ada berberapa andaian bagi maksud sebaik-baik saksi dalam hadis di atas, antaranya; seorang yang padanya ada penyaksian untuk seorang manusia bagi suatu haknya, namun orang itu tidak mengetahuinya, lalu dia tampil memaklumkan kepada orang tersebut bahawa dia adalah saksi untuknya bagi hak tersebut (Syarah Fuad 'Abdul Baqi).

KEJELASAN DALAM KESAKSIAN

Ibnu 'Abbas RA menceritakan; Nabi SAW ditanya tentang syahadah (memberi kesaksian). Lantas baginda berkata kepada orang yang bertanya; "Adakah kamu melihat matahari?". Ia menjawab; 'Ya'. Nabi berkata kepadanya; "Jika jelas seumpama itu, berilah penyaksian, atau tinggal saja (dari memberi kesaksian)" (Syu'abil-Iman, Imam al-Baihaqi; 10469).